Taktik angkut kerbau hidup guna bot penumpang berjaya ditumpaskan

MIRI-- Padah cuba bawa lima ekor kerbau hidup tanpa permit, tiga individu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Miri pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar bin Saad berkata, bot penumpang terbabit ditahan di kedudukan 3.1 batu nautika selatan Tanjung Perapat disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen9(1) dan(3) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar (VPHO) 1999 kerana gagal mengemukakan permit pemindahan haiwan ternakan ke Sarawak.

"Bot penumpang itu ditahan pada sekitar 10.45 pagi oleh bot ronda APMM dalam OP PERMAI dan OP TIRIS 3.0 di perairan Lawas. 

"Hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati, bot penumpang berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong serta dua awak-awak yang kesemuanya warga tempatan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambahnya, bot penumpang bersama kesemua kru kemudian diiring ke Jeti Pejabat Daerah Lawas sebelum diserahkan kepada Pegawai Jabatan Veterinar Sarawak untuk tindakan lanjut. 

Justeru, beliau menegaskan APMM akan terus komited dalam menguatkuasakan undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan tidak akan berkompromi ke atas mana-mana pesalah yang ingkar.

"Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi talian Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204 / Pusat Operasi MaritimNegeri Sarawak 082-432544/ 082-432016 untuk maklum balas segera," ujarnya.
Next Post Previous Post