RUU berkaitan perniagaan Karbon dijangka dibentang hujung tahun ini - Fadillah Yusof
KUCHING-- Rang Undang-Undang (RUU) baharu berkaitan dengan perniagaan karbon dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada penghujung tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air kini sedang giat merangka RUU tersebut di peringkat antarabangsa agar selaras dengan RUU Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023 di Sarawak.
"RUU berkaitan dengan karbon tersebut dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada penghujung tahun ini.
“RUU ini akan merangkumi undang-undang dan peraturan malah akan merangkumi skim cukai dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik (APGH) 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Fadillah memberitahu kejayaan Sarawak dalam peralihan tenaga kepada tenaga hijau yang lebih bersih dan mampan akan menjadi inspirasi kepada negeri-negeri lain untuk menceburi bidang tenaga ini.
Katanya lagi, Sarawak kini merupakan contoh sebuah wilayah yang sedang membangun dan dalam masa yang sama berjaya mempamerkan keharmonian antara pertumbuhan ekonomi dan pengurusan alam sekitar yang baik.
“Justeru, saya berharap agar Sarawak terus mengekalkan semangat perintis ini sebagai pelopor dalam teknologi hidrogen dan pengurusan karbon untuk masa depan yang lebih cerah, lebih hijau untuk bumi yang berdaya tahan dan mampan,” ujarnya.