Lelaki maut, kereta dipandu bertembung lori simen di Jalan Kampung Melayu Roban

SARATOK -- Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya bertembung sebuah lori simen di Jalan Kampung Melayu Roban tengah hari tadi.

Maklumat awal yang diterima dari Pusat Gerakan Operasi Sarawak mengesahkan mangsa yang dikenali sebagai Hazman Wahab berusia 36 tahun disahkan maut di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada jam 12.01 tengah hari," ujarnya.

Sampai di lokasi pada jam 12.19 tengah hari, pasukan bomba mendapati berlakunya kemalangan yang melibatkan sebuah kereta dan lori simen.

Pasukan bomba kemudiannya bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit pada bahagian kerusi duduk pemandu hadapan dengan menggunakan peralatan khas.

"Sejurus berjaya dikeluarkan, pihak KKM menjalankan pemeriksaan dan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," jelas beliau.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada PDRM untuk tindakan selanjutnya.

Pemandu lori bagaimanapun hanya dilaporkan mengalami kecederaan ringan. 

Selesai menjalankan kerja-kerja pembersihan, PKO menamatkan operasi pada jam 1.25 petang sebelum bertolak balik ke balai.

Gambar PGO Sarawak
Next Post Previous Post