Hujan berterusan, lima keluarga di Skim Penempatan Semula Nanga Tada terjejas banjir dipindahkan

KANOWIT-- Lima keluarga melibatkan 28 orang di Skim Penempatan Semula Nanga Tada di sini diarahkan berpindah akibat banjir susulan hujan berterusan di kawasan tersebut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, air naik pada paras kira-kira 1 kaki lebih dari aras lantai dalam rumah dua tingkat termasuk tiga buah rumah berasingan setingkat di skim penempatan tersebut.

"Bomba menerima panggilan berhubung keadaan banjir ini sekitar jam 8.16 pagi tadi dan mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit ke lokasi.

"Berdasarkan keadaan semasa pihak Bomba telah menghubungi Pegawai Daerah dan Ketua Polis Daerah (KPD) melalui panggilan telefon untuk memaklumkan perlunya pemindahan segera memandangkan keadaan air yang masih belum surut sepenuhnya serta keadaan hujan masih lagi turun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, katanya, pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Penghulu Seribu Nanga Tada dibuka sekitar jam 10.30 pagi tadi selepas persetujuan daripada Pegawai Daerah Kanowit.

Mengulas lanjut tentang mangsa yang terjejas, katanya, daripada 28 orang, 15 adalah lelaki, lapan wanita, tiga kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak wanita.
Next Post Previous Post