Tunggu 120 minit, orang sakit jantung boleh mati- Dr Sim

KUCHING-- "Kalau orang mengalami sakit jantung boleh mati tunggu masa 120 minit itu," kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang jangka masa menunggu di Kuanter Pendaftaran di Hospital Bintulu yang tular di media sosial Facebook hari ini.

Dr Sim berkata, jangka masa yang ditetapkan itu sememangnya tidak boleh diterima pakai.

"Bagi saya tempoh menunggu 120 minit ini tidak boleh diterima pakai kerana terlalu lama. Namun saya perlu mendapatkan maklumat terperinci tentang situasi sebenar yang berlaku di sana (Hospital Bintulu).

"Sebab inilah kerajaan Sarawak sangat mahukan kuasa dalam hal ehwal kesihatan diturunkan kepada Sarawak," katanya.

Beliau ketika ditemui pemberita pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Dr Sim memberitahu, kadar kecepatan untuk seseorang pesakit menerima rawatan di unit kecemasan bergantung kepada kategori iaitu dari tahap zon hijau hingga zon merah.

"Tempoh memberi perkhidmatan perubatan mengikut kategori kecemasan, kalau pesakit berkaitan jantung boleh meninggal kalau tunggu dalam tempoh yang lama untuk mendapatkan rawatan.

"Selalunya, kalau kes kecemasan kategori zon merah ia akan terus diberi keutamaan dan dirawat, kalau kes kecemasan kategori hijau ia akan menunggu sedikit lama untuk mendapatkan perkhidmatan," jelasnya lagi.

Sehubungan itu, beliau akan mendapatkan penjelasan tentang situasi sebenar yang dihadapi hospital tersebut.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik langkah yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempersetujui cadangan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memulakan dahulu pembangunan berkaitan infrastruktur kesihatan di sini terutamanya berkaitan hospital dan klinik daif di Sarawak.

"Kita amat beruntung kerana keprihatinan Yang Amat Berhormat Premier Sarawak yang telah menyuarakan isu ini kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang mana PM telah bersetuju dan kini hanya menunggu mekanisma daripada jawatankuasa yang diketuai Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Setiausaha Sarawak.

"Dan dalam ucapan penggulungan saya nanti saya akan memperincikan jumlah dan peruntukan yang diperlukan untuk hospital dan klinik daif ini," ujarnya.

Baru-baru ini, seorang pengguna Facebook berkongsi pengalamannya ketika membawa bayinya yang mempunyai temu janji di Hospital Bintulu.

Dia terkejut melihat notis yang ditampal pada cermin kaunter pendaftaran yang memaklumkan jangka masa menunggu adalah 120 minit.

Jelasnya, dia tiba di hospital itu seawal 7.45 pagi namun kuanter tersebut hanya mula dibuka pada jam 8 pagi dan terdapat notis memaklumkn jangka masa menunggu adalah 120 minit iaitu dua jam.

Disebabkan itu, katanya, dia dan bayi selesai temu janji di situ sekitar jam 1 tengah hari untuk pemerikasaan mata bayinya, kemudian disambung temu janji sebelah petangnya pula di klinik kanak-kanak di hospital itu.

Keadaan sama dialami dan katanya dia dan bayinya selesai temu janji di situ pada jam 5 petang.

"Dari 7.45 pagi hingga 5 petang barulah selesai semua," kongsinya.
Next Post Previous Post