76 kenderaan disita, 2 maut kemalangan ketika cuba lari

SANDAKAN -- Sebanyak 76 kenderaan disita manakala dua penunggang maut selepas bertembung sesama sendiri ketika cuba lari dari sekatan semasa Op Samseng Jalanan di Batu 16, Jalan Kuari 3, Gum Gum.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata, 76 kenderaan yang disita itu terdiri daripada 60 motosikal dan 16 kereta ditahan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk semakan dan siasatan lanjut.

"Semasa operasi sedang dijalankan, sekitar jam 5.30 petang, sekumpulan motosikal yang cuba melarikan diri dari operasi telah bertembung sesama mereka melibatkan tiga motosikal sehingga berlaku kemalangan maut.

"Dalam kemalangan ini dua penunggang motosikal berumur 22 tahun maut manakala seorang penunggang berumur 24 tahun cedera parah. 

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Fuad berkata, operasi itu dijalankan dari jam 3 petang Ahad hingga 2 pagi Isnin oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD sandakan melibatkan dua pegawai dan 14 anggota.

Dalam operasi itu katanya, sebanyak 105 kenderaan terdiri dari 30 kereta dan 75 motosikal telah diperiksa.

"Seramai 127 orang individu iaitu 115 lelaki dan 12 perempuan telah diperiksa.

"Hasil dari operasi yang dijalankan sebanyak 31 saman telah dikeluarkan 
atas pelbagai kesalahan antaranya ubah suai ekzos, tiada lesen memandu, tiada perlindungan insuran dan lain-lain," ujarnya.

Selain itu, katanya seramai 35 pemandu dan penunggang motosikal ditahan dalam operasi itu telah dibuat saringan ujian air kencing yang mana lima daripadanya didapati 
positif dadah jenis ketamin dan ganja. 

"Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Operasi Samseng Jalanan ini, akan diteruskan bagi memastikan aktiviti  lumba haram dan menguji kelajuan di atas jalanraya dapat dibanteras dengan menguatkuasakan undang undang jalanraya demi kesejahteraan 
orang awam," tegasnya.
Next Post Previous Post