Tunjuk ekzos bising, lima penunggang disaman

MARUDI— Keterujaan lima penunggang motosikal memperdengarkan bunyi bising ekzos masing-masing mengundang padah apabila mereka ditahan polis di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Marudi, Deputi Superintenden Polis (DSP) Mohd Ruslan Mat Kib berkata, mereka ditahan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Marudi bersama pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis (IPD) Marudi dalam Op Motosikal yang diadakan mulai jam 4 petang hingga 7 malam.

Beliau berkata, operasi ini dijalankan di pekan Marudi, Kampung Pemindahan, kawasan Kubu Marudi, Dataran Marudi dan Jalan Stadium Marudi.

“Sebanyak 20 daripada 23 motosikal yang diitahan dan pemeriksaan mendapati penunggang melakukan pelbagai kesalahan termasuk pengubahsuaian pada bahagian ekzos dan komponen lain.

“Bagi kesalahan ekzos bising polis mengeluarkan lima keping saman, tiada lesen memandu (6) manakala kesalahan motosikal tiada cermin sisi (3).

“Polis turut mengeluarkan saman kepada penunggang yang gagal menunjukkan nombor pendaftaran (2), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tampat tempoh (3) dan satu saman kesalahan nombor pendaftaran ‘fancy’,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu beliau menambah, operasi tersebut mendapati kebanyakkan penunggang motosikal jalan raya tidak mempunyai lesen dan tidak memasang cermin sisi.

Polis menasihatkan semua penunggang mematuhi undang-undang yang ditetapkan serta jangan terlibat dalam lumba haram serta aksi-aksi yang membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.


Gambar ihsan Polis Marudi
Next Post Previous Post