Trend curi kenderaan di Kuching meningkat, sindiket masih aktif

KUCHING-- Trend jenayah kecurian kenderaan di daerah Kuching menunjukkan peningkatan ketara, kata Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah.

Beliau memberitahu, terdapat beberapa kawasan menjadi sasaran suspek mencuri kenderaan.

"Antara kawasan itu adalah Samariang, Demak Laut, Metrocity, Tabuan Height, Taman Satria Jaya, BDC Stampin, King Centre, persekitaran Hospital Umum Sarawak, kawasan Waterfront Kuching, kawasan Majma Mall, kawasan Jalan Abell, kawasan Jalan Petanak, kawasan Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, kawasan Farley Mall dan Jalan Rock," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Op Bersepadu Pencegahan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di perkarangan Padang Kawad IPD Kuching di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahsmon berkata, IPD Kuching telah melaksanakan sebanyak 21 operasi sepanjang 2021 sehingga 2024.

"Melalui operasi yang dijalankan telah berjaya menyelesaikan kes curi kenderaan sebanyak 74 kes pada 2021, 101 (2022), 135 kes (2023) dan 30 kes selesai pada 2024 (bagi tempoh Januari hingga Mac 2024)," tambahnya.

Menurutnya lagi, sebanyak 710 buah motusikal dan 216 buah kereta yang dilaporkan dicuri dengan nilai kerugian dianggarkan sebanyak RM6,036 945 direkodkan sejak 2021 hingga Mac 2024. 

Katanya, IPD Kuching turut menubuhkan lima Team CAT (Counter Aggresive Team) dan satu Team Lejang bagi mengesan penjenayah curi kenderaan dalam tempoh yang sama.

"Sebanyak 15 sindiket ditumpaskan, seramai 329 orang suspek berjaya ditangkap dan menemui sebanyak 200 motosikal dan 118 buah kereta dengan nilai rampasan berjumlah RM3,279,450," dedahnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, hasil kajian juga mendapati antara modus operandi penjenayah curi kenderaan adalah menggunakan 'allen key spanar t' yang diubahsuai bagi mematahkan kekunci motosikal seterusnya merosak kunci bagi menghidupkan enjin motosikal.

"Malahan, ada penjenayah mengangkat motosikal dan dimasukkan ke dalam kenderaan seperti van atau kenderaan pacuan empat roda untuk mencuri. 

"Selain itu, penjenayah juga ada menggunakan 'portable signal jammer' dan mematikan penggera dan GPS bagi menghidupkan enjin kenderaan.

"Kenderaan yang menjadi sasaran penjenayah adalah motosikal Yamaha LC, Honda C100, kereta jenis Kancil, Pajero, Toyota Fortuner dan Toyota Hilux," katanya.

Analisa katanya mendapati 15 buah motosikal yang dicuri ditemui oleh pasukan serbuan disimpan secara terbuka di rumah suspek di kawasan Kuching dan turut digunakan sebagai kenderaan harian termasuk untuk bekerja.

Justeru, tegasnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat kenderaan mencurigakan dan individu yang disyaki pencuri kenderaan.

"Kita turut mengesahkan sindiket melibatkan warga tempatan dan warga asing masih aktif di kawasan Kuching," ujarnya.
Next Post Previous Post