Tabiat pelik curi "loar bip" wanita, lelaki dipenjara dua bulan

Gambar Hiasan

SIBU-- Tabiat pelik seorang lelaki yang mencuri seluar dalam wanita membawa padah apabila dia dikenakan hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Gani Pau, 37, sebelumnya mengaku bersalah atas tuduhan mencuri dua helai seluar dalam wanita di hadapan Majistret Romario Jonoi.

Majistret Romario memerintahkan tertuduh untuk menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditahan iaitu 19 April lepas.

Semasa pertuduhan dibacakan, Gani faham dan kekal dengan pengakuan bersalahnya.

Berdasarkan pertuduhan, dia dituduh mencuri dua helai seluar dalam wanita dari sebuah kediaman di Town Villa Sibu Jaya pada 18 April 2024, kira-kira jam 12.59 tengah malam.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit dengan kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada 18 April 2024 kira-kira jam 10 pagi, seorang wanita yang berusia 50 tahun mendapati seluar dalam miliknya serta ahli keluarganya yang dijemur pada penyangkut baju telah hilang dipercayai dicuri.

Pengadu mendapati kejadian itu berlaku pada 18 April 2024, kira-kira jam 12.59 tengah malam setelah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah mereka.

Susulan insiden itu, pengadu membuat laporan polis pada keesokan harinya sebelum suspek berjaya ditangkap pada jam 1 petang di kawasan perumahan yang sama.

Semasa tangkapan, polis turut merampas dua helai seluar dalam wanita berwarna jingga dan merah jambu, selain pakaian yang digunakan tertuduh ketika melakukan jenayah tersebut sebagai bahan bukti.

Gani yang hadir ke mahkamah hari ini tidak diwakili peguam bela.
Next Post Previous Post