Sarawak Energy siap siaga hadapi gangguan elektrik menjelang Aidilfitri

SIBU— Sarawak Energy sudah bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan termasuk gangguan elektrik menjelang sambutan Aidilfitri minggu depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili berkata, persediaan awal secara teknikal ini bagi memastikan semua pengguna menikmati bekalan elektrik secara berterusan ketika penggunaan meningkat semasa perayaan.

“Kita komited untuk memastikan sistem operasi berfungsi dengan cekap dalam memastikan bekalan elektrik berterusan sepanjang musim perayaan nanti. 

“Langkah-langkah kecemasan telah disediakan untuk membolehkan pemulihan tenaga dijalankan dengan berkesan sekiranya berlaku sebarang gangguan litar pintas,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis berbuka puasa bersama Sarawak Energy di Dewan Kompleks Islam Sibu, pada Selasa.

Sementara itu katanya, SEB memperuntukkan sejumlah RM42 juta pada tahun lepas bagi membiayai beberapa projek penambahbaikan disekitar kawasan Sibu, Kanowit, Kapit, Daro dan Dalat bagi memastikan kestablilan bekalan tenaga kepada pengguna. 

“Peruntukan itu melibatkan pembinaan Pencawang Kemuyang di Sibu yang siap pada 2023 dan penyambungan talian atas bervoltan tinggi dari Pencawang Sungai Maaw ke Tanjung Manis.

“Selain itu, penukaran 26 tiang talian atas bervoltan tinggi sepanjang 2.5 kilometer kepada
kabel bawah tanah ke Jalan Bukit Aup Sub dan penukaran switchgear yang usang di pencawang bandar Sibu,” katanya.

Selain itu, penyusunan semula sistem agihan sekitar Kanowit bagi menstabilkan bekalan
tenaga di kawasan tersebut dan penyusunan semula sistem agihan di sekitar kawasan Kapit sepanjang 2.6 km dari Daro ke Pulau Beruit serta penyusunan semula sistem agihan sekitar Dalat bagi menstabilkan bekalan tenaga di kawasan tersebut.

Selain itu, sebanyak 2,671 rumah di luar bandar di Sibu, Selangau, Kanowit, Kapit dan Mukah sudah menerima akses penuh bekalan elektrik 24 jam di bawah Skim Dana Pemohon Tambahan atau Lewat (ALAF) sejak 2018.

“Skim ini merupakan salah satu daripada inisiatif untuk mencapai sasaran penyambungan bekalan elektrik ke seluruh Sarawak menjelang tahun 2025.

“Di bawah bidang kuasa kawal selia Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (atau MUT) Sarawak dan Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (atau MEESty) Sarawak, Sarawak Energy telah mencapai kadar elektrifikasi yang hampir penuh di seluruh Sarawak.

“Kejayaan ini adalah hasil daripada usaha dan sokongan yang berterusan daripada Kerajaan Negeri Sarawak dan rakyat Sarawak,” katanya.
Next Post Previous Post