Pengawal peribadi kena tembakan di KLIA Terminal 1

KUALA LUMPUR-- Seorang pengawal peribadi terkena tembakan dalam insiden tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, awal pagi tadi yang menggemparkan pengembara dan kakitangan di situ.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam kejadian sekitar jam 1.15 pagi yang berlaku di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1 itu dipercayai cubaan bunuh terhadap seorang wanita tempatan iaitu isteri suspek.

"Seorang lelaki tempatan dipercayai melepaskan tembakan ke arah wanita yang juga isterinya.

"Tembakan itu bagaimanapun mengenai orang awam lain (seorang lelaki yang merupakan pengawal peribadi) dan suspek kemudiannya melarikan diri," katanya.

Jelas Hussein, beliau menolak kaitan insiden itu dengan isu pengganas, ekstremis mahupun gangguan awam, sebaliknya ia berkaitan perselisihan antara suami isteri.

Tegasnya, polis sudah mengenal pasti suspek dan usaha memburu lelaki itu yang dipercayai melarikan diri ke utara tanah air sedang giat dijalankan.

"Ketika kejadian, suspek melepaskan dua das tembakan dan salah satu (tembakan) itu mengena mangsa (pengawal peribadi)," katanya sambil menambah tembakan itu menyebabkan mangsa cedera di perut.

Mengulas lanjut, katanya, siasatan awal mendapati suspek didakwa mahu melepaskan tembakan ke arah isterinya yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.

Namun, jelas beliau, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan. 

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan Akta Senjata Api," tegasnya lagi.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa klip video memaparkan suasana cemas dipercayai berhubung kes itu yang meminta orang ramai yang berada di KLIA1 supaya berhati-hati.

Seorang wanita dipercayai berada di lokasi ketika kejadian memuat naik hantaran di Facebook, mendakwa mangsa yang terkena tembakan adalah pengawal peribadinya.

Dalam hantaran sama, individu itu memaklumkan sudah membuat laporan polis dan satu kenyataan rasmi akan dibuat berhubung perkara itu dalam masa terdekat.
Next Post Previous Post