Pembangunan semikonduktor sebatian akan pacu inovasi Sarawak-Abang Johari

 
KUCHING -- Pembangunan semikonduktor sebatian akan memacu inovasi untuk meningkatkan keupayaan mikrocip untuk menggerakkan teknologi dan penggunaan baharu di Sarawak.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, selaras dengan usaha ini, Sarawak mahu menjalinkan pakatan strategik dengan rakan industri terkemuka di United Kingdom (UK).

"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini landskap semikonduktor telah menyaksikan anjakan paradigma dengan semikonduktor sebatian muncul sebagai asas kepada teknologi generasi akan datang.

“Tidak seperti semikonduktor berasaskan silikon tradisional, semikonduktor sebatian menawarkan keupayaan prestasi yang tiada tandingan merentas pelbagai penggunaan daripada sistem telekomunikasi dan tenaga kepada elektronik canggih dan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara SMD Semiconductor Sdn Bhd dari Sarawak dengan Compound Semiconductor Applications Catapult (CSA Catapult) UK yang berlangsung di bangunan Parlimen di London yang disiarkan di Facebook rasmi Premier Sarawak, Sarawakku, pada Selasa.

Abang Johari dalam rangka lawatannya di UK bersama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki sebagai sebahagian anggota delegasi.

Dalam majlis itu, SMD Semiconductor diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Shariman Jamil manakala CEO Martin McHugh mewakili CSA Catapult.

Menurut Abang Johari, SMD Semiconductor yang ditubuhkan pada 2022 beroperasi sebagai entiti milik penuh kerajaan Sarawak dengan memacu teknologi kendiri dan inovasi untuk merealisasikan wawasan negeri bagi sektor semikonduktor.

Tegasnya, Sarawak mahu menjadi hab terkemuka dan penyedia penyelesaian penting, memupuk persekitaran yang kondusif untuk penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersialan teknologi semikonduktor canggih.

Berdasarkan teras itu, beliau memberitahu SMD Semiconductor berada dalam misi untuk memupuk ekosistem optimum, meletakkan Sarawak secara strategik sebagai destinasi pelaburan utama untuk industri semikonduktor dan sebagai penyedia penyelesaian khusus dan inovatif.

Beliau yakin dengan termeterainya MoU itu akan memberi manfaat yang besar untuk kedua-dua pihak, mendorong kedua-duanya ke arah inovasi dan kejayaan bersama pada masa depan.

“Saya amat percaya apabila SMD Semiconductor menempa pakatan strategik dan kerjasama dengan rakan industri terkemuka UK, usaha itu akan memacu inovasi yang membentuk semula keupayaan dan penggunaan semikonduktor sebatian,” ujarnya lagi.
Next Post Previous Post