Pau pelajar IPTA RM3, lelaki beraya dipenjara

BATU PAHAT-- Padah memeras ugut RM3 daripada seorang pelajar wanita institusi pengajian tinggi awam (IPTA), seorang lelaki terpaksa beraya dipenjara selepas gagal membayar ikat jamin sebanyak RM6,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Memetik laporan Harian Metro, Tertuduh, Muhammad Asyraf Omar, 26, sebelum itu dihadapkan di hadapan Hakim Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh atas pertuduhan peras ugut pelajar wanita sebuah universiti awam di Parit Raja, bulan lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan wang sebanyak RM3 terhadap pelajar berusia 23 tahun, jam 12.30 tengah hari, 26 Mac lalu.

Muhammad Asyraf bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Di bawah seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara selama 14 tahun dan juga boleh dikenakan denda atau sebat, jika disabit kesalahan.

Berdasarkan laporan yang dibuat mangsa, kejadian itu dikatakan berlaku ketika pelajar terbabit menunggu bas untuk pulang ke Masai, Johor, berikutan cuti akhir semester.

Semasa menunggu bas, mangsa didatangi tertuduh lalu meminta wang namun dia enggan melayan permintaannya.

Tertuduh dikatakan bertindak menarik baju mangsa menyebabkan dia ketakutan lalu menyerahkan RM3.

Disebabkan kejadian itu, mangsa terpaksa berjalan sejauh lima kilometer untuk membuat laporan di Balai Polis Parit Raja.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Izzati Rozman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 5 Mei ini untuk sebutan semula, serahan dokumen dan juga lantikan peguam.
Next Post Previous Post