Pasukan teliti kos keseluruhan, reka bentuk Pusat Kanser Sarawak sedang sudah ditubuhkan-Fadillah

KUCHING-- Satu pasukan bagi meneliti kos keseluruhan dan reka bentuk bagi mewujudkan Pusat Kanser Sarawak telah ditubuhkan susulan kerajaan Sarawak bersetuju menggunakan peruntukan negeri terlebih dahulu.

Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, pasukan itu telahpun ditubuhkan kerajaan persekutuan agar hasrat kerajaan Sarawak dapat direalisasikan segera.

"Semasa pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, beliau telah bersetuju agar Sarawak memulakan dahulu pembinaan Pusat Kanser Sarawak dengan menggunakan pembiayaan kerajaan negeri terlebih dahulu.

"Dan kerajaan Sarawak juga telah bersetuju untuk menggunakan peruntukan negeri terlebih dahulu bagi membina pusat kanser ini.

"Berikutan persetujuan itu, kita sekarang telah membentuk pasukan untuk melihat kos keseluruhan dan reka bentuk projek tersebut yang nanti akan dibayar balik oleh kerajaan persekutuan," katanya.

Fadillah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Zon 4 Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok serta Perasmian Perpustakaan Desa di Dewan Haji Kamarudin di Kampung Segedup di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dan Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, model yang diguna pakai Sarawak itu juga akan diadaptasi untuk pelaksanaan projek lain seperti klinik dan sekolah di negeri ini.

"Langkah yang diambil Sarawak ini membuktikan pendapatan serta politik di negeri ini amat stabil sehingga kerajaan dapat memfokuskan kepada usaha membangunkan negeri demi kesejahteraan rakyat. 

"Hanya negeri ini yang mampu berbuat demikian dan belum ada kerajaan negeri lain yang memberi pinjaman kepada kerajaan pusat, Sarawak adalah satu-satunya.

"Ini menunjukkan komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan terus dilaksanakan demi rakyat sekali gus mengembangkan peluang ekonomi negeri dan rakyat," ujarnya. 

Sebelum ini, Anwar dilaporkan bersetuju dengan pendekatan baharu yang dicadangkan oleh Sarawak dengan kerajaan negeri memulakan pembinaan dengan pembiayaan sendiri terlebih dahulu, manakala kos kemudian akan ditampung oleh pusat.  

Menteri Kewangan itu berkata, usaha kerjasama itu sebagai yang pertama dilaksanakan di Malaysia bertujuan mempercepatkan penubuhan pusat kanser bagi menampung keperluan penjagaan kesihatan pesakit kanser di Sarawak.

Untuk rekod, sejumlah RM1 bilion dana diperlukan untuk membina Pusat Kanser Sarawak yang dicadangkan kerajaan Sarawak yang mana pembiayaannya akan menggunakan dana negeri terlebih dahulu.
Next Post Previous Post