Lelaki curi lori di Kampung Skibang Bau ditangkap

BAU-- Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes curi sebuah lori ditangkap sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau di sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Jawai Francis Kempas berkata, suspek warga tempatan ditangkap sekitar jam 10 malam di tepi jalan persimpangan Suba, Bau.

"Pada jam 9.30 malam semalam, polis menerima laporan kes curi lori setelah menerima panggilan telefon daripada orang awam yang mengatakan lori yang dia parkir di hadapan rumah di Kampung Skibang, Bau telah dicuri orang.

"Bertindak atas maklumat, di tepi jalan 
persimpangan Suba, Bau pihak polis telah menahan lori dan suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, hasil siasatan lanjut, suspek mengaku mencuri kenderaan tersebut dari rumah mangsa di Kampung Skibang, Bau.

Jelasnya, semakan lanjut terhadap suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. 

Tegasnya kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari tujuh 
tahun dan boleh juga dikenakan denda.

"Permohonan reman telah dibuat di Mahkamah Majistret Bau dan diluluskan selama empat hari mulai 27 April sehingga 1 Mei 2024," ujarnya.
Next Post Previous Post