Kembalikan operasi bot ekpress Marudi - Long Lama, tak semua mampu beli kereta

Bot ekpress yang singgah di Long Lama dan difahamkan digunakan penduduk tempatan untuk sambutan perayaan Pasca baru-baru ini. Gambar kredit FB Uchu Penghulu

MARUDI— Pengoperasian bot ekpress di laluan Marudi ke Long Lama yang ditamatkan beberapa tahun lalu wajar dikembalikan memandangkan tidak semua mampu membeli kenderaan.

Ketiadaan bot ekpress ini menyukarkan pergerakan penduduk pedalaman di tebing Sungai Baram yang sebelum ini bergantung sepenuhnya dengan pengangkutan bot ekpress.

Berdasarkan hantaran ‘Akhirnya ada juga ekpress singgah di Long Lama’ oleh Uchu Penghulu di Facebook baru-baru ini, rata-rata netizen mengharapkan bot ekpress yang banyak menabur jasa sejak 1970an hingga awal 2000 wajar diteruskan.

Menurut Thomas Ajan, kemudahan bot ekpress ini memudahkan penduduk yang tinggal di tebing sungai di pedalaman.

“Bukan semua orang berkemampuan membeli kereta untuk menggunakan jalan darat dan ketiadaan bot ekpress ini menyukarkan penduduk bergerak seperti dulu.

“Mungkin tidak perlu mengikut jadual operasi sepenuhnya, memadai dua atau tiga bot seperti kereta e-hailing, minta bantuan dari kerajaan untuk minyak subsidi sama seperti pengangkutan bas,” katanya di ruangan komen.

Selain itu katanya, pengangkutan ini dapat menjadi tarikan kepada para pelancong asing yang mahu menggunakan bot ekpress untuk menikmati suasana kampung di tebing sungai dalam perjalanan dari Kuala Baram - Marudi - Kuala Tutoh dan ke Long Lama.

“ Sekurang-kurangnya tebing sungai tidaklah terlalu sunyi seperti sekarang, sehingga buaya pun banyak timbul berbanding zaman 80an dan 90an,” komen Thomas.

WanNur Zakiah pula berkata, pengangkutan bot ekpress ini dapat memeriahkan semula pekan itu.

“Kalau bot ekpress masih diteruskan, tentu Marudi lebih meriah. Ia memberi kemudahan kepada kampung-kampung yang berada di pertengahan jalan untuk ke Marudi atau Long Lama,” katanya.

“Cubalah perkhidmatan express ini diteruskan masa sekarang, sekurang-kurangnya dari Long Lama ke Marudi pun sudah cukup.

“Tambang dari Long Lama pergi Marudi di era tahun 90an pun murah. Kalaulah ada express dan tambang RM35 pun kita ikut juga,” komen Vincent Laing.

“Masa dulu tiada jalan raya atau jalan balak, untuk pergi ke satu-satu tempat terpaksa guna sungai.

“Itulah satu sebab di kawasan di Sarawak kampung orang Iban, Kenyah, Kayan, Kiput, Berawan berada tidak jauh dari sungai untuk menghantar hasil mereka ka pekan berdekatan atau bandar besar,” kata Hj Awang Jamaludin.

Perjalanan menggunakan bot ekpress dari Marudi ke Long Lama mengambil masa kira-kira tiga jam atau sehingga lima jam pada musim kemarau
Next Post Previous Post