Kejar-mengejar atas bumbung rumah kedai di Pasar Lama Bintulu, polis tangkap penyamun

BINTULU-- Aksi kejar-mengejar di bumbung kawasan rumah kedai di Pasar Lama Bintulu yang tular, dua suspek disyaki terlibat kes samun bersenjata parang berjaya ditangkap.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superitenden Nixon Joshua Ali berkata, dua suspek dipercayai terlibat dalam satu kes samun berkumpulan bersenjatakan parang yang berlaku di kawasan Balingian, Mukah.

"Suspek ini telah melarikan diri dan bersembunyi di sebuah hotel budget di kawasan Pasar Lama, Bintulu.

"Dalam video yang tular tersebut dua lelaki warganegara tempatan (suspek) telah berjaya ditahan untuk membantu siasatan bersabit Laporan Balingian 272/2024 (kes samun bersenjara parang)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, mangsa dalam kes samun itu telah tampil membuat laporan polis di Balingian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan," tegasnya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.

"Sekiranya ada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan jenayah boleh tampil ke Balai Polis Berdekatan atau menghubungi bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304," ujarnya.
Next Post Previous Post