Isu pendidikan, kesihatan dibincang dalam Mesyuarat Teknikal MA63

KUCHING— Isu kuasa pendidikan dan kesihatan di Sabah dan Sarawak akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKTMTPMA63) yang diadakan dua minggu lagi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia susulan perbincangan peringkat pegawai yang telah selesai diadakan Sarawak bagi mengenal pasti isu kuasa yang boleh diserahkan kepada kerajaan negeri berhubung perkara itu.

“Seperti yang dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa kunjungannya Sabtu lalu, misalnya sekolah yang dibina oleh kerajaan Sarawak itu kualiti dan kosnya lebih murah yang sama standard seperti yang ditetapkan, maka akan dilaksanakan ikut persetujuan,” katanya dipetik Bernama di sini pada Ahad.

Semalam, Anwar berkata kedua-dua kerajaan bersetuju menggunakan kaedah baharu dalam projek pembangunan di mana negeri itu akan membuat pembiayaan bagi mempercepat pelaksanaan projek-projek Persekutuan.

Beliau bersetuju supaya satu jawatankuasa khas antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak ditubuhkan bagi memperhalusi isu sektor pendidikan dan kesihatan di negeri itu tanpa birokrasi.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dan pengerusi JKTMTPMA63 dari Sarawak menambah, antara kekangan kerajaan Persekutuan sekarang adalah dari segi peruntukan wang bagi melaksanakan projek pembinaan seperti sekolah dan hospital.

"Misal kata, kerajaan negeri memerlukan supaya Sarawak dapat menubuhkan Pusat Kanser sendiri, tetapi disebabkan peruntukan dan juga berapa dasar lain, maka semalam telah dipersetujui akan diwujudkan jawatankuasa antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Secara prinsip akan membenarkan kerajaan negeri untuk mendahulukan dana pembinaan pusat kanser tersebut dan kerajaan Persekutuan akan membiayainya kemudian hari secara perundingan dan kaedah bayarannya," katanya.
Next Post Previous Post