Buruh Pan Borneo Maut Kemalangan Di Jalan Sri Aman-Sarikei

SRI AMAN—Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan kendiri membabitkan sebuah pikap di Kilometer 58 Jalan Sri Aman-Sarikei di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.56 pagi itu, mangsa yang maut pemandu pikap Musa Mat, 56, beralamat di Kampung Bintawa Ulu, manakala penumpang Peli Seman, 59, beralamat di Kampung Tanjung Bako cedera di kepala dan tangan kiri.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mathew Manggie berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati pikap terbabit terbabas sendiri ke kanan jalan lalu terbalik.

“Pemandu pikap tercampak keluar dari kenderaan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian yang disahkan paramedik Klinik Skrang. 

“Penumpang yang cedera telah dibawa ke Hospital Betong untuk dapat rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kemalangan jalan raya itu tidak melibatkan kenderaan lain dan mangsa dalam perjalanan dari Kuching hendak menuju ke Betong untuk bekerja sebagai buruh di Pan Borneo.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Next Post Previous Post