Dua 'hero' kes ragut di Taman Desa Wira terima penghargaan, dua tertuduh kena 10 tahun penjara dan 10 sebatan

KUCHING-- Dua ' hero' yang membantu mangsa ragut di Taman Desa Wira, Batu Kawa hingga berjaya menangkap suspek terlibat menerima penghargaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.

Penghargaan itu disampaikan oleh Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong kepada Kenny Ng Chau Seng, 46, dan Chomson Gon, 30, di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan di sini hari ini.

"Pada 22 April 2024 jam 7.54 pagi berlakunya kejadian samun ragut yang melibatkan mangsa seorang perempuan berumur 50-an diragut oleh dua orang suspek menaiki motorsikal di Jalan Desa Wira, Batu Kawa.  

"Dengan tindakan pantas serta bantuan dari orang awam, salah seorang suspek berjaya ditangkap pada waktu kejadian manakala seorang lagi suspek berjaya melarikan diri. 

"Hasil kecekapan dan risikan maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan berjaya memberkas seorang lagi suspek yang lolos pada sebelah petang hari yang sama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Lim, tindakan orang awam tersebut tanpa disedari telah mempamerkan tindakan yang penuh keikhlasan tanpa mengira kepentingan peribadi dalam menyelamatkan harta benda dan nyawa orang lain. 

"Tindakan pantas dan sikap mulia sebegini wajar dijadikan teladan oleh setiap lapisan masyarakat.

"Saya berharap semua lapisan masyarakat akan terus berkerjasama dengan pihak PDRM dalam membanteras jenayah," ujarnya. 

Mengenai kes itu, Lim berkata, kedua-dua lelaki yang terlibat dalam kes samun ragut terbabit telah dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuching hari ini.

"Kedua-dua tertuduh yang didakwa di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan mengaku bersalah atas tuduhan yang dikenakan ke atas mereka," katanya.

Justeru, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada dua orang awam yang bertindak pantas dalam membantu mangsa ragut seperti yang terakam dalam video 'dashcam' samun ragut Jalan Desa Wira, Batu Kawa.

Pada hari ini, Hakim Musli Ab Hamid memerintahkan kedua-dua tertuduh, Amirudin Bakeri, 21, dan Abang Nur Arifin Abang Ali Munawir, 31, menjalani hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Berdasarkan pertuduhan di bawah seksyen itu, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat atau denda jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu berlaku pada 7.56 pagi pada 22 April di Taman Desa Wira di Batu Kawa.

Pendakwaan kes itu dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Iezzah Iburdanisha Ibrahim, manakala Amirudin dan Abang Nur Arifin tidak diwakili peguam bela.
Next Post Previous Post