Cubaan 5 PATI Lolos Ke Sarawak Dipatahkan Tentera Malaysia- Indonesia

LUNDU-- Cubaan lima Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) wargenagara Indonesia meloloskan diri ke Sarawak secara haram dipatahkan dalam rondaan bersama Tentera Malaysia- Indonesia semalam.

Sel Operasi Media Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD) berkata, Sub Unit Formasi Divisyen Pertama Infantri bersama anggota Tentera Negara Indonesia-Angkatan Darat telah melaksanakan rondaan bersama di kawasan keselamatan Biawak pada jam 11.45 pagi. 

"Semasa sedang melaksanakan rondaan, anggota ronda tentera mendapati empat orang lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa sedang berjalan merentasi
sempadan Malaysia.
"Pasukan ronda tersebut telah menahan dan membuat pemeriksaan terhadap
lima orang penceroboh dan mendapati tiada barang terlarang serta berbahaya dijumpai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, senarai barang bukti yang ditemui adalah wang tunai, telefon bimbit, beg dompet dan beg pakaian dengan nilai berjumlah RM 3,150. 

"Kesemua lima orang PATI telah dibawa ke sempadan negara untuk pengusiran. 

"Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lundu bagi menentukan tindakan pengusiran dibuat dengan betul
mengikut peraturan semasa," ujarnya.

Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis merakamkan tahniah dan syabas kepada pegawai dan anggota yang berjaya membenteras kemasukan PATI di perbatasan negara.
Next Post Previous Post