RM4 juta kurangkan kesesakan di Sempadan Sungai Tujoh

Premier Sarawak sidang media sempena lawatan kerjanya ke ICQS Sungai Tujoh, Kuala Baram, Miri. Gambar ihsan UKAS

MIRI— Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM4 juta untuk menangani kesesakan di pos kawalan sempadan di Sungai Tujoh, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, peruntukan itu termasuk menaik taraf kemudahan sementara di pos kawalan itu yang menempatkan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Malaysia.

“Selain aliran trafik dari Malaysia ke Brunei dan Brunei ke Malaysia telah bertambah, jumlah pelancong Malaysia ke Brunei serta jumlah pelancong yang datang ke Sarawak melalui Brunei juga telah meningkat. 

“Saya telah bersetuju dengan mereka bahawa kita akan mempunyai pintu masuk khusus, satu untuk warganegara Malaysia dan satu pintu lagi untuk warga asing dan ini melibatkan dana sebanyak RM4 juta bagi menambah baik kemudahan di ICQS ini.

“Dana yang diluluskan itu bagi menyelesaikan masalah kesesakan kenderaan sekali gus melancarkan pergerakan trafik di ICQS tersebut,” katanya semasa sidang selepas melakukan lawatan ke ICQS Sungai Tujuh, Kuala Baram di sini pada Khamis, lapor Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Sebelum ini, agensi-agensi kerajaan di ICQS berkenaan juga memohon peruntukan untuk pembaharuan secara interim sementara mereka menunggu projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13)

Pada sidang media tersebut, Abang Johari turut memohon Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki untuk membentuk pasukan pentadbiran teknikal. 

“Pasukan pentadbiran teknikal ini akan memantau aliran masuk orang yang datang dari Brunei ke Malaysia. 

“Ini hanya di ICQS Sungai Tujoh, kita juga mempunyai pintu masuk di Limbang, jadi pasukan ini juga perlu bekerja di dua pintu masuk,” tambahnya. 

Terdahulu, Premier Sarawak berkesempatan mendengar taklimat ringkas daripada Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia serta pembentangan pelan tindakan jangka masa pendek daripada Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS). 
Next Post Previous Post