Polis Miri Buru Suspek Kes Samun, Pecah Rumah

MIRI--Polis Miri kini memburu suspek yang terlibat dalam kes samun dan pecah rumah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu mengesahkan pihaknya menerima tiga laporan berkaitan kes samun yang dilaporkan pada 20, 21 dan 24 Mac di Hilltop Miri, Ocean Park dan Permyjaya.


"Susulan daripada laporan tersebut, IPD Miri dengan kerjasama Pasukan Gerakan
Am (PGA) Batalion 12 telah melancarkan OP Pencegahan Jenayah, Sekatan Jalanraya (SJR) serta telah menggerakkan semua elemen polis untuk mengesan suspek yang terlibat dalam kes samun dan pecah rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pihak Polis juga turut menasihati masyarakat untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan memviralkan isu-isu sensitif di media sosial yang mana ia boleh menimbulkan kerisauan dan kegusaran di kalangan masyarakat tempatan. 

"Selain itu masyarakat juga diminta untuk sentiasa peka dengan persekitaran masing-masing serta meningkatkan sistem kawalan keselamatan di kediaman seperti pemasangan CCTV ataupun sistem alat penggera," ujarnya.

Katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan perlakuan ini, boleh tampil ke Balai Polis yang berdekatan atau menghubungi di talian 085-433730 untuk menyalurkan maklumat berkaitan.
Next Post Previous Post