Masyarakat Islam berpuasa Selasa ini

KUCHING-- Masyarakat Islam di Malaysia akan mula berpuasa pada Selasa, 12 Mac, setelah Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengisytiharkan awal Ramadan untuk tahun 1445 Hijrah jatuh pada hari tersebut.

Petang 10 Mac ini bersamaan 29 Syaaban 1445H ditetapkan sebagai tarikh melihat anak bulan Ramadan untuk mengisytiharkan tarikh permulaan puasa bagi umat Islam di Malaysia tahun ini.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja memaklumkan bahawa Majlis Raja-Raja telah bersetuju cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

Pusat Falak Miri antara 29 lokasi di seluruh negara untuk melihat anak bulan Ramadan.

Lokasi terbabit ialah Pontian Kecil, Johor, dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di Melaka.

Selain itu, Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan, serta Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat; dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.

Seterusnya, Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru di Manjung, Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh di Pulau Pinang; serta Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi; dan Menara Alor Setar, Alor Setar di Kedah.

Lokasi lain ialah Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Mukim Merang, Setiu di Terengganu; serta Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampong Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai; dan Menara Bangunan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC), Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Bharu di Kelantan.

Selain itu, Pusat Falak Miri; Teluk Bandung, Kuching; dan Tanjung Batu, Bintulu di Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan di Sabah; manakala di Pahang ialah Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands; serta Menara Kuantan 188.

Turut menjadi lokasi melihat anak bulan Ramadan ialah Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya; dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis. 

Di Kuching, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak Yang Amat Arif Datu Awang Suhaili Ledi mengetuai majlis Rukyah Hilal Ramadan di Teluk Bandung.

Beliau memberitahu sepanjang tempoh cerapan dilakukan petang tadi, pihaknya tidak berjaya melihat anak bulan Ramadan.

Sementara itu, Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah hadir pada majlis Rukyah Hilal Ramadan di Pusat Falak Miri Luak Esplanade pada petang tadi.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Imam Bahagian Miri Ustaz Sharafuddin Suaut dan diteruskan dengan taklimat Rukyah Hilal Ramadan oleh Ketua Penolong Mufti Bahagian Falak Ustaz Razalie Hussaini.

Hadir sama Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut yang juga Datuk Bandar Adam Yii, Mufti Sarawak Datu Kipli Yassin, Pengarah Jabatan Mufti Sarawak Mual Suaud, Residen Miri Jamalie Busri dan Temenggung Datuk Abdul Rahman Fadzail.

Majlis merupakan aktiviti tahunan Jabatan Mufti Sarawak bertujuan membuat penetapan tarikh bermula puasa iaitu pada 1 Ramadan.
Next Post Previous Post