Mahu komisen tapi rugi RM32,500

MIRI-- Gara-gara mahu mendapatkan komisen, seorang wanita warga emas rugi RM32,500 selepas terpdaya tawaran kerja sambilan yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, kes itu dilaporkan mangsa, 60-an, yang merupakan pesara swasta pada semalam.

"Mangsa pada awalnya telah melihat satu iklan melalui media sosial Facebook dan telah menekan satu pautan yang menghubungkan ke satu laman sesawang www.ticket2u.cc dan berhubung dengan suspek melalui Telegram yang tertera pada laman sesawang tersebut.

"Suspek telah menerangkan berkenaan tugasan yang bakal dilakukan secara atas talian dan memerlukan mangsa untuk memasukkan wang bagi menerima komisen atas tugasan yang dilakukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, mangsa telah meneruskan tugasan yang diberikan dan melakukan transaksi lebih banyak serta kerap untuk tugasan yang seterusnya.

Jelasnya, apabila mangsa mahu mengeluarkan komisen yang dijanjikan, suspek pula akan memberikan pelbagai alasan dan mengarahkan mangsa untuk membuat pembayaran tambahan ke dalam akaun yang diberikan suspek.

"Mangsa telah melakukan serahan wang sebanyak 16 kali transaksi ke dalam lapan akaun bank berbeza yang diberikan oleh suspek. 

"Mangsa hanya sedar dirinya telah tertipu selepas tidak dapat mengeluarkan wang komisen yang dijanjikan tersebut," katanya.

Menurut Alexson, akibat kejadian ini mangsa telah mengalami kerugian sehingga berjumlah RM32,500.

Tegas beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang boleh membawa kepada hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun, dan sebat, dan juga denda.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan tawaran pekerjaan yang diterima melalui telefon, emel, sms mahupun mana-mana platfrom media sosial yang menjanjikan komisen yang tinggi dan kerja yang mudah dalam tempoh singkat.
Next Post Previous Post