Lelaki di Bintulu rugi RM120,000 terpedaya tawaran kerja sambilan online

BINTULU-- Seorang lelaki di Bintulu mengalami kerugian RM120,000 selepas terpedaya tawaran kerja sambilan dalam talian.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, mangsa berusia awal 30-an yang merupakan pekerja swasta memaklumkan pada awal bulan Mac 2024 di kediamannya telah melayari aplikasi instagram
dan mangsa ada menerima satu mesej yang dikenali sebagai Remembey_Lee. 

"Selepas itu, individu tidak dikenali itu telah menawarkan mangsa pendapatan sampingan sebagai jurujual melalui pautan ‘oberlo.ws’. 

"Bagi mendapatkan bayaran mangsa perlu mendaftar di pautan ‘oberlo.ws dan membuat pembelian barangan yang dijual secara pukal. 

"Keuntungan diperolehi hasil 
jualan dibayar kepada mangsa dan setelah membuat pendaftaran, mangsa telah membuat pembelian secara pukal untuk dijual semula kepada pembeli," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mancha pada pertengahan bulan Mac 2024 mangsa telah membuat sembilan transaksi wang 
secara berperingkat ke enam akaun bank yang berbeza berjumlah lebih kurang RM120,000.

"Mangsa menyedari dirinya telah ditipu setelah semua pembelian 
dilakukan mangsa masih tidak menerima sebarang keuntungan yang dijanjikan," jelasnya.

Katanya lagi, malahan mangsa diminta untuk membuat bayaran tambahan namun tidak berbuat demikian kerana telah kehabisan wang.

"Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak melayani panggilan telefon yang tidak dikenali. 

"Selain itu, orang ramai turut disarankan agar tidak mudah panik 
atau cemas dan takut dengan sebarang dakwaan yang dibuat ke atas diri anda jika anda tidak melakukan apa-apa kesalahan. 

"Orang ramai juga dinasihatkan 
agar tidak memberikan maklumat perbankan kepada individu atau mana-mana pihak yang tidak dikenali," ujarnya.
Next Post Previous Post