Lelaki OKU cuba larikan kanak-kanak perempuan ditangkap

KUCHING-- Seorang lelaki dicekup selepas cubaanya untuk melarikan seorang kanak-kanak perempuan digagalkan dalam kejadian di kawasan rumah di Lapangan Terbang di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah yang mengesahkan tangkapan itu berkata, suspek berusia 30 tahun itu ditangkap sekitar jam 6.55 petang pada 11 Mac lalu.

"Suspek berjaya ditangkap dalam cubaan hendak melarikan seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun yang ketika itu sedang bermain di luar rumahnya di kawasan Lapangan Terbang, Kuching," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ashmon polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza berwarna putih yang digunakan suspek dalam kejadian tersebut.

Tegasnya, kes telah disiasat di bawah Seksyen 365/511 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan melarikan orang yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika di sabit kesalahan. 

"Siasatan awal mendapati suspek merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) dengan masalah pembelajaran dan telah menjalani rawatan di Hospital Umum Sarawak, sejak 2001 untuk 'attention deficit hyperactive disorder' (ADHD)," jelasnya lagi.

Katanya, suspek juga tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

Mengulas lanjut, Ashmon berkata pada 15 Mac 2024 jam 9.00 pagi, suspek telah didakwa di Mahkamah Kuching di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama. 

"Mahkamah telah memerintahkan penahanan suspek di Hospital Sentosa Kuching untuk penilaian psikiatri," ujarnya.


Menurutnya kes akan disebut semula pada 22 April 2024 setelah laporan perubatan diterima.

Justeru, beliau mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang telah bertindak cekap dalam insiden ini dan ingin mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak polis," tegasnya.
Next Post Previous Post