Lelaki menyamar polis ditangkap, pernah dibuang kerja polis 2021

Tangkap layar video tular. 

KUALA LUMPUR-- Seorang lelaki ditangkap kerana aktif menyamar sebagai polis dan membuat aktiviti pemerasan di sekitar kawasan Sentul.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, suspek berusia 42 tahun yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau itu sebelum ini pernah dibuang kerja sebagai polis kerana terlibat aktiviti jenayah pada 2021.

"Suspek ditangkap sekitar jam 12.30 tengah hari pada Jumaat oleh pasukan polis semasa membuat rondaan di Tol Duta menghala Tol Duke 2.

"Semasa kejadian suspek memakai seragam penuh polis dengan memakai vest menunggang motosikal Yamaha Y-15 dikatakan sedang menahan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux di mana pemandu Hilux tersebut dalam keadaan ketakutan," katanya dalam kenyataan.

Berikutan itu, katanya, pasukan kemudian mengesyaki sesuatu tidak betul dan terus menghampiri suspek untuk buat pemeriksaan tetapi suspek tersebut terus melarikan diri. 

Tambahnya, selepas aksi kejar-mengejar, suspek berjaya ditangkap.

"Semasa tangkapan berlaku pergelutan dan suspek ada mengalami sedikit kecederaan di bahagian tangan kanan," jelasnya.

Tegasnya, suspek ditangkap di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai polis.

Polis juga merampas motosikal yang digunakan suspek.

Selain itu, beliau memberitahu, pemandu Hilux juga telah ke balai untuk membuat laporan polis.
Next Post Previous Post