Kastam Sarawak tumpas sindiket pengedaran dadah RM1.5 juta

KUCHING-- Kastam Sarawak menumpaskan pengedaran dadah bernilai lebih RM 1.5 juta selepas bertindak atas maklumat dengan kerjasama Cawangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada 6 Mac lalu.

Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Norizan Yahya berkata, Pasukan Cawangan Narkotik telah melakukan serbuan ke atas sebuah premis kediaman di Matang.

Menurutnya, dalam operasi berkenaan pasukan telah menahan seorang lelaki tempatan berusia lewat 20-an yang disyaki merupakan ahli sindiket. 


"Hasil pemeriksaan rapi yang telah dijalankan oleh pasukan serbuan ke atas premis telah membawa kepada penemuan sejumlah 45 paket teh Guan Yin Wang yang mengandungi serbuk kristal yang disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu dengan berat lebih kurang 46 kilogram dengan nilai pasaran dianggarkan bernilai RM1.5 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kesemua bungkusan ditemui disembunyikan dalam empat bungkusan pakaian terpakai atau bundle yang diletakan di ruang tamu tingkat bawah rumah berkenaan. 

"Berdasarkan jumlah berat dadah yang diperolehi, dianggarkan seramai lebih 450,000 orang dapat diselamatkan daripada penyalahgunaan dadah.

"Siasatan awal mendapati lelaki tersebut merupakan ahli sindiket yang bertanggungjawab untuk melakukan agihan dan penghantaran kepada pelanggan di sekitar bandar Kuching," ujarnya.

Katanya, berdasarkan sumber, sindiket ini dipercayai telah mula beroperasi sejak beberapa bulan yang lalu. 

Mahkamah Majistret Kuching telah mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari bermula 7 Mac 2024 ke atas lelaki tersebut bagi tujuan siasatan.
Next Post Previous Post