Dua lelaki disyaki ah long ditahan

MIRI— Polis menahan dua lelaki tempatan kerana disyaki terlibat dalam pemberian pinjaman wang tanpa lesen di sekitar Miri.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu berkata, suspek yang berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun itu ditahan pada Selasa menerusi Op Vulture melibatkan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK).

“Peranan suspek yang ditangkap tersebut adalah berjumpa dengan peminjam bagi mengutip bayaran balik pinjaman wang. 

“Kedua-dua suspek ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Alexson berkata, kedua-duanya disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951/2011 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM250,000 sehingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Beliau menasihatkan orang ramai sentiasa berhati-hati dalam membuat urusan pinjaman wang khasnya daripada pihak atau individu yang tidak dikenali.
Next Post Previous Post