Basmi rabies: 14 VMT, 12 Pasukan Penguatkuasaan dicadang ditubuh di Sarawak

KUCHING-- Sebanyak 14 Pasukan Bergerak Veterinar (VMT) dan 12 Pasukan Penguatkuasaan dicadangkan ditubuhkan di Sarawak bagi memerangi wabak rabies di negeri ini.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, wabak rabies di Sarawak telah diisytiharkan sebagai Bencana Tahap II seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Hari ini 13 agensi bertemu selama dua hari dalam bengkel Pemantapan Pelan Tindakan Pembasmian Rabies.

"Dalam bengkel ini telah mencadangkan penubuhan 14 VMT dan 12 Pasukan Penguatkuasan dengan jumlah 133 jawatan baharu akan diwujudkan di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak bagi mempergiatkan program vaksinasi anti-rabies di seluruh Sarawak," katanya ketika berucap pada majlis penangguhan bengkel tersebut di sini hari ini.

Tegas Uggah, penguatkuasaan terhadap anjing yang tidak divaksinasi, pelupusan anjing liar bersasar dan pelesenan akan dijalankan dengan segera oleh pasukan penguatkuasa (DVS, PDRM dan IBET) bersama-sama majlis tempatan masing-masing di seluruh negeri untuk mengurangkan populasi anjing liar dan memperkasa liputan vaksinasi.

Menyentuh tentang vaksinasi di Sarawak, pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) itu berkata, pada tahun lepas hanya 44,874 ekor anjing telah divaksin oleh DVS Sarawak dan Pasukan IBET di seluruh Sarawak.  

"Ini sangat jauh di bawah sasaran 70 peratus daripada anggaran 230,000 ekor populasi anjing di negeri ini.  

"Bagi mencapai dan mengekalkan 70 peratus kadar imuniti ini, kita mencadangkan 14 VMT dan 12 Pasukan Penguatkuasaan diwujudkan di negeri ini," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai mengambil tindakan sekarang untuk memastikan anjing mereka mesti divaksin dengan vaksin anti-rabies dan berlesen.  

"Pemvaksinan anjing diwajibkan di bawah Seksyen 40, VPHO 1999. 

"Mana-mana pemilik atau orang yang bertanggungjawab ke atas anjing yang gagal mematuhinya adalah melakukan kesalahan dan boleh dikompaun sehingga RM1,000," tegasnya.

Tambahnya lagi, kerajaan GPS amat mengambil berat tentang kehidupan dan kesejahteraan rakyat Sarawak.  

"Kita harus menguatkuasakan undang-undang semasa untuk melindungi rakyat Sarawak.  

"Bermakna operasi kita yang dirancang akan lebih fokus dan saya harap semua pihak dan individu akan memainkan peranan yang membina untuk membasmi Rabies di Sarawak," ujarnya lagi.
Next Post Previous Post