Bapa terkejut lihat asrama daif dihuni dua anaknya di Tebedu

KUCHING--Seorang bapa terkejut melihat keadaan daif asrama yang dihuni anaknya 
di sebuah asrama sekolah di Tebedu, di sini.

Kain yang membaluti tilam koyak rabak, sebahagian daripada isinya juga berlubang dan terburai, sama juga halnya dengan bantal buruk dan busuk yang sudah bertukar warna hingga kelihatan menjijikkan.

Memetik laporan mStar, Mohd Firdaus Jailan,37, mengakui amat terkejut sebaik melihat keadaan bilik tersebut di asrama yang dihuni dua orang anak lelakinya masing-masing merupakan pelajar tingkatan satu dan tingkatan tiga.

Menurutnya, ketika itu ibu bapa para pelajar dibenarkan masuk untuk melihat keadaan asrama sementara isterinya menguruskan pendaftaran masuk pada minggu lalu.

"Tentulah saya terkejut dan marah. Takkan nak biarkan pelajar tidur dalam keadaan macam itu? Itu tak kira lagi kipas yang rosak, cermin pecah dan sebagainya.

"Apabila tengok keadaan macam tu, memang saya dan isteri hantar tilam baharu. Tak sanggup tengok anak tidur dalam keadaan macam itu," katanya.

Bapa kepada empat anak itu bagaimanapun menegaskan pihak sekolah tidak seharusnya dipersalahkan dalam hal itu kerana mereka sudah melakukan yang terbaik.

"Cuma apabila tak ada dana, mereka (pihak sekolah) tak boleh buat apa-apa. Tujuan saya buat perkongsian ini supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) buka mata... cepat hulur bantuan," katanya.

Menurutnya, pendedahan itu bukan untuk menidakkan usaha guru-guru, bukan juga menuduh mereka yang bukan-bukan.

"Saya menjadi saksi kepada dedikasi dan usaha mereka mendidik anak bangsa. Pendedahan ini dibuat supaya YB (Yang Berhormat) Menteri dan pasukannya berpijak di bumi yang nyata.

"Tergamakkah YB melihat seorang anak remaja tidur di atas tilam seperti ini? Tergamakkah YB melihat anak-anak menghidu hama dan habuk daripada span bantal yang hancur setiap hari?

"Tergamakkah YB melihat anak-anak ini berkongsi tiga katil ini berlima dan kadang-kala ada yang terpaksa tidur di lantai? Bangunlah KPM. Anak-anak ini bukan binatang," katanya dengan nada kesal.
Next Post Previous Post