18 laporan terhadap 'Bozz Jebat' dibuat di seluruh Sarawak setakat 11 malam semalam

KUCHING-- Sebanyak 18 laporan polis dibuat di seluruh Sarawak terhadap Zool Amali Hussin atau dikenali sebagai 'Bozz Jebat' yang didakwa menghina Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948/ Sek 233 Akta Multimedia dan Komunikasi 1998.

"Sehingga semalam jam 11 malam terdapat 18 laporan polis yang telah dibuat berhubung kes tersebut.

"Laporan polis itu melibatkan tujuh laporan dibuat di Kuching, tiga di Miri, dua di Bintulu dan masing-masing satu laporan Serian, Lawas, Simunjan, Padawan, Saratok dan Belaga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, beberapa Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak turut tampil membuat laporan polis terhadap 'Bozz Jebat' di Balai Polis Satok.

Laporan itu dibuat 13 Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak diketuai oleh John Nyigor.

Selain itu, Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Idris Buang berkata tindakan menghina Abang Johari jelas perbuatan jenayah.

"Saya dengan rendah diri menggesa polis segera membuat siasatan untuk membawa 'Bozz Jebat' ke muka pengadilan," katanya menerusi satu kenyataan akhbar semalam.

Baru-baru ini satu video yang tular dalam media sosial menunjukkan Zool Amali yang merupakan bekas ahli UMNO dari Negeri Sembilan membuat kenyataan menghina Abang Johari dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Kira-kira 50 ahli Persatuan Kebajikan Sahabat Pembina Insan Sarawak (SAHABAT) Daerah Kuching dan Persatuan Warisan Anak Sarawak (WARIS) turut membuat laporan polis terhadap Zool Amali di Balai Polis Gita dekat sini pada malam Rabu.
Next Post Previous Post