Sarawak hantar penjawat awam kursus di Amerika Syarikat, Singapura

Datuk Patinggi Abang Johari menunggang motosikal semasa Sambutan Tahun Baharu Cina Jabatan Premier Sarawak 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN), Petra Jaya hari ini.

KUCHING— Sarawak akan menghantar penjawat awam negeri menyertai kursus jangka pendek di luar negara termasuk di Amerika Syarikat dan Singapura sebagai pendedahan teknologi baharu berasaskan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pada masa yang sama memperkasa pengurusan dalam membantu kerajaan mencapai tiga agenda utama tahun ini iaitu pengambil alihan pelabuhan Bintulu, penubuhan syarikat penerbangan milik Sarawak dan mengambil alih bank.

“Prinsip ESG amat penting untuk diaplikasikan kerana ia mengambil kira aspek alam sekitar, sosial serta tadbir urus yang jelas untuk kita terus maju.

“Justeru kita akan menghantar sebahagian daripada penjawat awam untuk mengikuti kursus jangka pendek di pelbagai institusi termasuk di Harvard University di Amerika Syarikat dan Lee Kuan Yew School of Public Policy Singapura untuk mendedahkan mereka dengan teknologi semasa dalam menghadapi masalah dan mencari penyelesaian.

“Kursus itu juga akan melakukan perbincangan mengenai kajian sesuatu kes yang akan memberi manfaat dari segi cara menyelesaikan isu dihadapi kerajaan,” katanya berucap dalam Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Jabatan Premier Sarawak 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN), Petra Jaya di sini pada Isnin, lapor Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Premier menambah, kajian kes ini akan memberi manfaat kepada mereka dari segi cara ingin menyelesaikan isu yang dihadapi oleh kerajaan.

“Di pihak saya, kabinet saya juga perlu menyesuaikan diri apabila kita menggubal dasar. Kami mahu membuat dasar yang praktikal dan terkini,” katanya.
Next Post Previous Post