Rabies kelak bising, pencinta asuk trigger

KUCHING— Bagaikan tiada kesudahan, isu anjing liar dan rabies terus menghantui rakyat di negeri ini.

Situasi kini semakin membimbangkan apabila populasi anjing berkenaan dilaporkan meningkat terutama di kawasan perumahan, tempat awam seperti klinik, taman, sekolah termasuk di jalan raya.

Namun, apa sahaja usaha pihak berkuasa tempatan dalam menangani isu anjing liar dan rabies, pasti ada yang membantah dan kurang senang.

Lihatlah apa terjadi dengan tindakan pihak berkuasa mahu memperhebat operasi melupus anjing liar di seluruh Sarawak mulai tahun ini.

Isu tersebut yang dipaparkan Borneo Network minggu lalu telah mendapat lebih 2,000 reaksi dan maklum balas daripada pengguna Facebook. 

Lebih 500 komen netizen dari selatan hingga utara Sarawak, rata-rata bersetuju operasi tersebut diadakan bagi mengurangkan populasi anjing liar.

Namun tindakan sebahagian besar netizen ini mencetuskan kemarahan kepada kumpulan pencinta haiwan tegar yang merasakan diri kebal daripada gigitan anjing dan rabies.

“Pencinta haiwan is watching,” kata seorang netizen dalam ruangan komen.

“Tiada satu pun haiwan berhak diberi layanan seumpama ini. Ada kaedah lain untuk menyelesaikan masalah ini, namun pihak berkuasa memilih jalan pintas melalui pelupusan. Tak mengapa, lagipun semua kita manusia dan haiwan ditakdirkan mati. Semoga Tuhan ‘memberkati’ tangan yang melakukan dan memberikan balasan yang setimpal,” sindir seorang netizen.

“Sebab kau bukan manusia, kau tiada perasaan.

“Bila manusia merasa dunia ni hanya untuk diri mereka. Semoga sesiapa pun manusia yang telah aniaya ciptaan Allah dapat balasan yang setimpal,” jawab mereka membalas komen seorang netizen - “Pencinta haiwan is watching.”

Kumpulan itu menyelar operasi melupus suatu tindakan kejam dan tidak adil terhadap haiwan yang tidak bersalah itu.

“Sepatutnya tangkap dan divaksin terlebih dahulu, kalau betul tak dapat diselamat baru lupus. Jangan kerana seekor semua kena lupus.

“Kerajaan sepatutnya menyelesaikan masalah ini dari akar umbi. Pelupusan tidak akan menyelesaikan apa-apa. Pemilik yang membuang anjing dan kucing mereka harus bertanggungjawab.

Netizen turut mencadangkan kerajaan mewajibkan pemandulan anjing peliharaan yang disediakan secara percuma atau bayaran minima.

Ramai netizen berasa tidak lagi selamat keluar dari rumah walaupun hanya untuk pergi membuang sampah. Kanak-kanak tidak lagi selamat berjalan ke sekolah. Riadah di tempat terbuka seperti taman-taman dihadkan kerana bimbang serangan anjing liar. 

Tak percaya, bacalah keluhan dan aduan mereka di merata-rata media sosial.   

“Dekat kampung Baru, Sebuyau tuk banyak ajak asuk liar. Sampe berpuluh ekor. Dah lah dekat dengan Sekolah Rendah Tuanku Bagus. Report dah dpolah dekat MDS Simunjan. Langsung tiada tindakan dipolah. Nak nungu mbiak sekolah mati kenak rabies baruk tauk nak ambik tindakan,” keluh seorang penduduk.

“Cucu kawan saya pernah kena. Umur lima tahun, gigit anjing dan meninggal dunia berapa hari lepas tu. Semua tiada yang mengaku punya anjing. Jika ada membela jangan biar keluar dari kawasan rumah. Kawasan perumahan saya masih banyak yang biar anjing mereka berkeliaran. Sebab tu saya cakap pemilik dulu cari. Anjing tak salah,” kata seorang netizen.

“Banyak animal lover, orang bertarung nyawa nak mati kat ICU tiada pula mereka datang bagi sokongan.

“Betul... kononnya terpaling pencinta haiwan, tapi haiwan yg diinang dibiar berkeliaran berak dirumah jiran. Asuk dibiar lepas, lepas gigit orang dia diam-diam saja! Itukah terpaling pencinta haiwan? Tak ada tanggungjawab betul!

“Terbaik...Jangan tidak Operasi Area sg Plan Bintulu banyak anjing liar selalu kerjar budak² semasa turun dan balik dari sekolah. Sangat Menbahaya sampai budak-budak takut nak jalan kaki pergi sekolah.

Netizen berpendapat, operasi pelupusan wajar dilaksanakan kerana lebih baik mencegah rabies dari merawat.

“Sangat perlu operasi ini digiat ke seluruh negeri, daerah ,kawasan perumahan., kampung dan sekolah. Untuk menjamin keselamatan murid yang pergi dan balik dari sekolah. Usaha perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh supaya anjing liar ini dapat dikawal.

“Harap semua kawasan di Sarawak tuk polah operasi yo…kawasan kamek di Debak pun banyak juak asuk liar..takut juak ..mun ia ado sakit rabies mun urang kenak gigit ia kelak.

“Alu banyak pencintan haiwan komen, sak binatang diinang mengarei jak di luar sik dijaga bagus.Dalam FB semua bagus jak bunyi komen.

Sebelum ini, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, operasi melupus anjing liar dan pemberikan vaksin akan dipergiat di seluruh Sarawak.

Katanya, langkah ini perlu susulan peningkatan kes rabies di negeri ini, dengan Samarahan dan Serian diisytiharkan sebagai kawasan terbaharu jangkitan rabies, minggu lalu.

Beliau berkata, kawasan yang diisytiharkan sebelum ini masih kekal sebagai kawasan jangkitan rabies termasuk Kuching dan Bintulu. 

Sebanyak 133 sampel telah diuji dan hasilnya 20 haiwan didapati positif rabies.

“Sebanyak 10 kes wabak rabies telah dikesan di Kuching, manakala tiga kes dikesan di Padawan, satu kes masing-masing di Samarahan, Bau dan Tebedu serta dua kes masing-masing di Bintulu dan Sebauh. 

Dr Rundi menasihatkan pemilik anjing mesti bertanggungjawab memastikan haiwan kesayangan mereka divaksin dengan vaksin anti-rabies atau berdepan denda sehingga RM2,500 jika ingkar.

“Kerajaan melalui Jabatan Veterinar Sarawak (DVS) dan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) dalam usaha memvaksin dan mengurangkan populasi dengan melupuskannya bagi mengawal penularan rabies.

“Tahun lepas DVS Sarawak dan Pasukan Immune Belt Enforcement Team (IBET) telah memvaksin 37,254 ekor anjing dan tahun ini kami mensasarkan sehingga 50,000 ekor anjing. 

Hakikatnya, kes serangan anjing liar dan rabies di Sarawak tidak menunjukkan penurunan.

Minggu ketiga Januari tahun ini, tiga lagi kes kematian baharu akibat wabak rabies dalam kalangan manusia dilaporkan dengan dua daripadanya berlaku di Kuching dan satu di Bintulu.

Ketiga-tiga mangsa meninggal dunia antara 9 hingga 20 Januari lepas, dengan lingkungan umur mangsa 39 hingga 61 tahun.

Sejak 2017 hingga Januari tahun ini, sebanyak 78 kes rabies dilaporkan dengan 71 kematian Dalam tempoh yang sama, sebanyak 52,969 kes gigitan anjing, 43,345 kes gigitan kucing dan 1,490 gigitan lain-lain haiwan turut dilaporkan.
Next Post Previous Post