Kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke dalam Sungai Kanowit

KANOWIT -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia 1 tahun 6 bulan dipercayai lemas dibawa arus deras selepas tergelincir lalu terjatuh ke dalam Sungai Kanowit di Nanga Geremai petang tadi.

Maklumat awal yang diperoleh dari BBP Kanowit mengesahkan, semasa kejadian, mangsa yang dikenali sebagai Batrick Giling Bunau dikatakan berada di kawasan tebing sungai sebelum tergelincir dan terjatuh.

"Sepasukan anggota BBP Kanowit bergerak ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja mencari mangsa sejurus menerima panggilan berhubung insiden pada jam 6.16 petang," ujarnya.

Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya insiden yang melibatkan seorang kanak-kanak lelaki yang terjatuh ke dalam sungai.

Menurut saksi, semasa kejadian, ibu bapa mangsa sedang menjalankan kerja-kerja mengenjin padi yang mana mereka tidak perasan akan keberadaan mangsa.

"Terdapat 2 orang kampung yang turut berada di tebing sungai sedang membuat kerja harian ternampak mangsa tergelincir di tebing sungai dan berlari ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa, tetapi tidak berjaya," jelasnya.

Setelah itu, pasukan bomba menjalankan kerja-kerja pencarian di sekitar mangsa dikhuatiri terjatuh namun masih gagal menemukan mangsa.

Operasi pencarian hari pertama ini ditangguhkan pada jam 7.59 malam dan akan disambung keesokan hari memandangkan hari sudah beransur gelap dan agak berbahaya.
Gambar BBP Kanowit
Next Post Previous Post