Polis Marin Wilayah Lima Sarawak rampas kapal tangki bawa 430,000 liter diesel tanpa permit

KUCHING-- Polis Marin Wilayah Lima Sarawak menahan dan merampas sebuah kapal tangki yang membawa muatan minyak diesel 430,000 liter bernilai RM10,505,000 di kawasan Laut Barrage, Sungai pada Sabtu.

Komandernya, ACP Ab Rahman Mat Hasan berkata, kapal tersebut disyaki membawa minyak diesel di bahagian tangki simpanan minyak tanpa permit ditahan semasa Op Taring Gelora Khas yang dijalankan sekitar jam 3.45 petang pada Sabtu.

"Hasil pemeriksaan mendapati kapal tangki tersebut disyaki membawa minyak diesel di bahagian tangki
simpanan minyak yang dianggarkan keseluruhan minyak diesel terbabit lebih kurang 430,000 liter.

"Setelah diperiksa Juragan gagal mengemukakan sebarang bukti berdokumen kebenaran memiliki/menyimpan/membawa barang kawalan tanpa permit/kebenaran khas dari pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ab Rahman, selain rampasan pihaknya turut menahan lima lelaki berusia antara 19 hingga 41 tahun yang terdiri daripada seorang lelaki tempatan, seorang warga Indonesia, seorang lelaki warga Myanmar dan dua lelaki warga Vietnam.

Dalam pemeriksaan lanjut kata beliau, pihaknya mendapati tiga anak kapal menyalahgunakan permit lawatan sosial untuk bekerja di kapal tersebut dan telah tamat tempoh.

Jelasnya, tangkapan dan rampasan itu dibuat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63.

Susulan itu, tegasnya, semua barang rampasan dan tangkapan diserah kepada Pegawai Penyiasat KPDN Kuching untuk siasatan selanjutnya. 

"Manakala tiga lelaki warga asing diserah dan dirujuk kepada Pegawai Penyiasat Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk siasatan dan tindakan selanjutnya," ujarnya.
Next Post Previous Post