Kes rusuhan di Jalan Batu Kawa, seorang sudah ditangkap

KUCHING-- Polis menangkap seorang daripada enam suspek yang disyaki terlibat dalam kes rusuhan yang berlaku di perkarangan sebuah rumah di Jalan Batu Kawa di sini pada baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad yang mengesahkan kes itu berkata, polis telah menerima satu laporan daripada seorang pengadu wanita berkenaan insiden tersebut pada 4 Februari lalu.

"Dalam insiden tersebut, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan motif rusuhan masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh dengan menggunakan senjata dan juga di bawah Seksyen 427 kanun yang sama iaitu khianat. 

"Sabitan bagi kesalahan pertama ini membawa kepada hukuman pemenjaraan sehingga 5 tahun atau denda atau dengan kedua duanya manakala bagi kesalahan kedua membawa kepada pemenjaraan selama 2 tahun atau denda atau kedua-duanya," jelasnya.

Abang Zainal berkata, pada hari ini Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan berjaya mengesan salah seorang daripada suspek lelaki bangsa cina berumur 20-an. 

"Suspek akan direman di Mahkamah Kuching pada 8 Februari 2024 bagi membantu siasatan. 

"Sementara itu polis akan mempergiatkan mengesan suspek yang lain.

"Polis memandang serius ke atas apa-apa jua jenayah yang berlaku di daerah ini. 

"Selain daripada BSJD Padawan sendiri, operasi untuk kesan dan tangkap kesemua suspek juga turut dibantu oleh pihak JSJ D7, IPK Sarawak," dedahnya. 

Beliau percaya tangkapan susulan ke atas saki-baki rakan sejenayah akan dapat dilakukan dalam tempoh waktu yang terdekat.

Terdahulu tular video dalam aplikasi media Telegram pada 6 Februari 2024 jam lebih kurang 11.05 malam, dalam satu portal berita media massa yang dinamakan sebagai edisi siasat. 

Video tersebut telah mendapat tontonan sebanyak 52,000.

Dalam klip video tersebut menunjukkan sekumpulan lelaki dalam enam hingga tujuh orang telah merusuh dengan bersenjatakan objek benda tajam dan batang besi. 

Sekumpulan individu tersebut telah masuk ke perkarangan sebuah rumah di Jalan Batu kawa dan memecahkan harta benda di perkarangan rumah tersebut.

Justeru, beliau menyeru kepada masyarakat agar terus mempercayai pihak polis dalam menguatkuasakan undang undang dan menyalurkan apa-apa jua maklumat agar dapat membantu menyelesaikan kes-kes jenayah yang dilaporkan.
Next Post Previous Post