Kes bunuh kejam Sibujaya, dua ditangkap

SIBU— Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes tikam seorang wanita menggunakan senjata tajam yang ditemui berlumuran darah di hadapan sebuah kedai di Sibujaya petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata suspek masing-masing berusia 28 dan 27 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan di sekitar bandar ini pada malam tadi dan pagi ini.

“Pihak polis turut merampas sebilah pisau daripada salah seorang suspek sebagai barang kes.

“Kedua-dua suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian semalam, beliau berkata polis sekitar 3.10 petang telah menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan terdapat seorang perempuan terbaring di hadapan sebuah kedai di Sibujaya dalam keadaan berlumuran darah.

“Sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah bergegas ke lokasi kejadian. 

“Mangsa berumur 24 tahun telah dikejarkan ke Hospital Sibu untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia pada jam 11.34 malam tadi.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan berita yang tidak benar,” katanya.

Sebarang maklumat yang hendak disalurkan bagi membantu siasatan, bolehlah menghubungi mana-mana balai polis yang berdekatan atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes, ASP Mingat Bakil di talian 019-8867978.

Terdahulu media melaporkan, seorang pembantu kedai wanita ditemukan berlumuran darah dengan sembilan kesan tikaman di anggota badan dipercayai ditikam bekas teman lelakinya menggunakan senjata tajam dalam kejadian di hadapan lot kedai di Sibujaya di sini.

Zulkipli berkata, punca dan motif kejadian masih dalam siasatan.
Next Post Previous Post