117 kali pindah wang baru sedar ditipu RM900,000

MIRI--Panik dituduh terlibat dalam pengubahan wang haram, seorang wanita warga emas terpaksa menanggung kerugian RM900,000 diperdaya sindiket penipuan dalam telefon yang menyamar sebagai polis.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, mangsa seorang pesara swasta berusia 70 itu mula diperdaya selepas menerima panggilan dari nombor telefon yang tidak dikenali dan memperkenal diri sebagai pegawai polis daripada IPK Pulau Pinang.

Beliau berkata, mangsa dimaklumkan telah menyertai satu kumpulan pengubahan wang haram.

"Suspek mengarahkan mangsa membuat pembayaran untuk mengelak ditangkap dan membersihkan nama. 

"Suspek menyakinkan mangsa wang itu digunakan untuk tujuan dan akan dikembalikan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 Mancha menambah, pada pertengahan Januari hingga Februari tahun ini, mangsa telah memindahkan wang sebanyak 117 transaksi ke 21 akaun bank yang berbeza.

"Mangsa menyedari dirinya telah ditipu setelah membuat semakan selanjutnya di balai polis berhampiran dan dimaklumkan bahawa panggilan itu bukannya dari polis.

"Jumlah kerugian mangsa sebanyak RM900,000. Sehubungan itu satu laporan polis dibuat di balai polis di sini semalam," katanya.
Next Post Previous Post