"Dia amat bermakna bagi saya"- Toh Puan Raghad

KUCHING-- "Tiada kata yang dapat menggambarkan betapa bermakna dia (Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud) kepada saya," luah Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.

Luahan itu dikongsi oleh Toh Puan Raghad di Instagram miliknya hari ini selepas menerima berita sedih itu.

"Dengan penuh rasa dukacita dimaklumkan pemergian suami saya, YABhg Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud awal pagi tadi.  

"Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan betapa bermakna dia kepada saya.

"Semoga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh di syurga. Al-Fatihah," katanya.

Terdahulu, kerajaan Sarawak mengisytiharkan tempoh berkabung di seluruh negeri bermula hari ini dan esok sempena pemergian bekas Yang di-Pertua Negeri.

Kerajaan Sarawak dalam pengumuman rasminya menerusi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) hari ini juga memaklumkan bendera hendaklah dinaikkan separuh tiang di seluruh Sarawak. 

"Sebarang acara yg melibatkan hiburan hendaklah ditangguhkan. 

"Masjid dan rumah Ibadah adalah 
digalakkan mengadakan Majlis Doa bagi memperingati pemergian Almarhum Tun Taib.

"Kerajaan Sarawak merakamkan Takziah kepada seluruh keluarga Almarhum Tun Pehin Sri dan mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat," kata Kerajaan Sarawak.

Tun Taib telah kembali ke Rahmatullah pada kira-kira jam 4.40 pagi tadi dan jenazahnya dijangka tiba di Kuching petang ini dari Kuala Lumpur dan akan terus dibawa ke kediamannya di Demak Jaya, Jalan Bako. 

Pada keesokan, jenazah akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberi peluang kepada rakyat jelata memberi penghormatan terakhir yang dijadualkan bermula pada jam 8 pagi hingga 11.30 pagi.

Selepas itu, jenazah akan dibawa ke Masjid Demak untuk disolatkan sebelum dikebumikan dengan Istiadat Pengkembumian Negeri di perkuburan keluarga di Demak Jaya.
Next Post Previous Post