Cekik isteri kerana tuduh ada skandal

MUAR— Tak serik dipenjara, seorang lelaki yang baru dibebaskan atas kesalahan berkaitan dadah kembali ke penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencekik isterinya.

Tertuduh, Chin Tong Choi,44, yang berdepan dua tuduhan termasuk positif dadah, dijatuhi hukuman penjara 17 bulan bagi kedua-dua tuduhan selepas membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Bapa kepada tiga anak itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya berusia 42 tahun dengan kejadian itu berlaku di sebuah rumah di Taman Arosa, Jalan Bakri di sini, 12.50 tengahari, 7 Februari lalu.

Berdasarkan fakta kes, berlaku perselisihan antara tertuduh dengan isterinya kerana menuduh wanita itu mempunyai lelaki lain.

Kemuncaknya apabila tertuduh hilang pertimbangan lalu mencekik leher isterinya sebelum mangsa membuat laporan di Balai Polis Muar, lapor Berita Harian.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Seksyen 326A pula, hendak dihukum bagi satu tempoh pemenjaraan dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan ke atas sabitan bagi kesalahan mengikut seksyen relevan.

Selain itu, tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) yang dibaca bersama Seksyen 39B akta sama, kerana menggunakan methamphetamin dan amphetamin.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 11 bulan bagi kes mendatangkan kecederaan terhadap isterinya.

Bagi Seksyen 15 (1) (a), mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan serta pengawasan polis selama dua tahun.

Mahkamah juga memutuskan hukuman pemenjaraan bagi kedua-dua pertuduhan berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan, 12 Februari lalu.
Next Post Previous Post