Bukan lampu isyarat kami mahukan tetapi jejambat, warga Miri

Lebih 70,000 kenderaan melalui Bulatan Pujut 3 ini setiap hari ke Lutong, Senadin, Tudan, Kuala Baram dan Permyajaya. Gambar ihsan Kementerian Kerja Raya

MIRI— Pengumuman kerajaan untuk menaik taraf Bulatan Pujut 3 (GK) kepada persimpangan lampu isyarat pintar yang menelan kos lebih RM1 juta menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan warga Miri.

Hampir keseluruhan warga Miri kurang senang dengan pembinaan lampu isyarat itu kerana mereka beranggapan ia akan memburukkan kesesakan lalu lintas di kawasan itu bukannya membawa penyelesaian seperti yang diharapkan.

Melalui hantaran ‘Masalah kesesakan teruk dihadapi lebih 60,000 pengguna jalan di Bulatan Pujut 3 (Bulatan GK) dijangka selesai menerusi pemasangan lampu isyarat dan pelebaran jalan’ Borneo Network baru-baru ini, mereka berpendapat, kerajaan sepatutnya mempertimbang pembinaan jejambat seperti di Kuching atau bandar raya lain sebagai usaha penyelesaian jangka panjang.

“Asyik-asyik lampu isyarat. Kau hendak jadikan bandar raya Miri seperti Sibu kah? Jalan sikit lampu isyarat. Corner sikit lampu isyarat,” kata seorang netizen dalam ruangan komen.

Individu tersebut turut mencadangkan kerajaan membuat terowong di bawah bulatan tersebut seperti yang dilakukan di Kuching, bukannya membuat lampu isyarat.

“Sudah tiada pilihan lain, kalau lancar di sini, di sana akan ‘jam’. Ini belum lagi jalan ke By Pass melalui Jalan Pujut , yang kita perlu laluan baru namun setakat ini belum ada jalan yang sesuai.

“Setakat ini kesesakan masih terkawal berbanding jika dinaik taraf ke lampu isyarat. Bayangkan betapa banyaknya lampu isyarat kena hadap dari Senadin ke tempat kerja, sik merasa berhenti lagi dan lagi kerana lampu isyarat,” kata seorang lagi netizen.

“Aduh, I hear this how long ago. How come there always a flyover then a roundabout?

“Pada pendapat saya, jejambat adalah penyelesaian terbaik iaitu dari kedua-dua arah Miri - Lutong, manakala lampu isyarat untuk laluan dari Piasau ke Lutong atau Miri,” kata seorang netizen.

Penduduk berpendapat, langkah kerajaan mewujudkan persimpangan lampu isyarat tidak relevan memandangkan sudah ada lampu isyarat simpang empat ke arah Lutong dan Permyjaya berhampiran.

“Miri tak mampu buat jejambat walhal kaya hasil minyak dan gas. Hanya mampu tengok kesesakan jalan raya setiap hari,” kata mereka.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika lawatan ke Miri baru-baru ini berkata, sejumlah lebih RM10.4 juta peruntukan keseluruhan untuk Miri bagi tahun ini.

“Peruntukan ini termasuk menaik taraf bulatan Pujut 3 kepada persimpangan lampu isyarat pintar serta pelebaran jalan empat keenam lorong sepanjang tiga kilometer bernilai RM1.23 juta dan pembaikan kecil Jambatan Sungai Lutong (RM300,000).

“Selain itu penyenggaraan berkala pavemen (RM4.6 juta) dan penyenggaran berkala bukan pavemen (RM800,000),” katanya.

Jalan ini berfungsi sebagai jalan arteri utama bagi penghuni dari Lutong, Tudan, Permyjaya, Senadin, Kuala Baram, Brunei, Limbang untuk menuju ke kawasan bandar Miri.

Bancian trafik bagi jalan tersebut yang dibuat pada 5 Januari 2022 merekodkan sebanyak 65,799 jumlah kenderaan melalui jalan tersebut dari 6 pagi sehingga 10 malam. 

Pembangunan tanah yang rancak di sepanjang jajaran jalan dan kawasan sekitarnya, bulatan yang sedia ada sekarang tidak dapat menampung jumlah trafik yang meningkat dengan pantas.
Next Post Previous Post