Angkara YB beri angpau RM5, empat lelaki ditangkap

JULAU-- Gara-gara angpau RM5, empat lelaki ditangkap kerana ugutan jenayah dalam insiden melibatkan seorang wakil rakyat di Pakan.

Ketua Polis Daerah Julau DSP Andam Sulin berkata, polis menerima laporan pada 11 Februari lalu yang dibuat oleh seorang wakil rakyat.

Jelasnya dalam laporan itu, wakil rakyat tersebut sedang melawat kawasan Pakan sempena Tahun Baru Cina.

"Empat suspek telah bercakap dengan wakil rakyat tersebut sambil menyatakan tidak puas hati dengan jumlah angpau (saguhati sempena adat Kaum Cina). 

"Maka, wakil rakyat tersebut bersetuju untuk menambah jumlah angpau suspek namun suspek masih membuat provokasi terhadap pekerjanya," katanya dalam kenyataan malam ini. 

Susulan laporan itu, Andam berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Julau berjaya menangkap empat suspek untuk siasatan lanjut.

"Hasil daripada tangkapan tersebut, kes telah diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

"Permohonan reman telah dijalankan di Mahkamah Sarikei dan suspek-suspek telah ditahan reman selama tiga hari untuk siasatan dan tindakan lanjut. 

"Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan, boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya," tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu hasil siasatan mendapati suspek-saluspek dikatakan tidak berpuas hati disebabkan angpau yang diberikan oleh wakil rakyat terbabit berisi RM5 sahaja. 

"Suspek telah mengisikan angpau tersebut dengan duitnya sendiri berjumlah RM10 lalu suspek telah memulangkannya kepada wakil rakyat terbabit sebagai tanda tidak berpuas hati dan dipermalukan. 

"Walau bagaimanapun siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian berlaku," ujarnya.

Menurutnya lagi polis tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk keganasan jenayah terutamanya dalam daerah Julau/Pakan. 

"Oleh itu, pihak polis berharap masyarakat dapat bersama-sama dengan pihak polis membanteras gejala tersebut secara efektif," tambahnya.
Next Post Previous Post