7 cedera, dua kereta bertembung di Jalan Jemukan Sadong Jaya

KUCHING: Tujuh individu cedera dalam kemalangan yang membabitkan kereta Perodua Viva dan Axia di Jalan Jemukan berhampiran Kampung Jemukan Sadong Jaya di sini petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataannya hari ini berkata, sepasukan anggora dari BBP Asajaya dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat mangsa sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 1.30 petang.

"Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya insiden pelanggaran yang melibatkan dua kereta yang mana salah sebuah kereta terbabas ke kawasan semak tepi jalan," jelas beliau. 

Pasukan bomba katanya tidak melakukan sebarang tindakan operasi kerana kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam yang berada di lokasi sebelum bomba tiba. 

Lima mangsa jelasnya telah dihantar ke pusat kesihatan terdekat dengan menggunakan kenderaan awam manakala 2 lagi mangsa dihantar menggunakan Ambulans APM.

Setelah keadaan didapati benar-benar selamat dan terkawal, pasukan bomba bertolak semula balik ke balai.

Gambar PGO Sarawak
Next Post Previous Post