26 penghuni dari 7 keluarga hilang tempat berteduh, rumah panjang didiami ranap terbakar

SIBU -- 26 penghuni dari 7 keluarga di rumah panjang Tuai Rumah Rebah di Nanga Tutus Igan hilang tempat berteduh selepas rumah panjang yang mereka diami musnah dalam kebakaran yang berlaku pagi tadi.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, seramai 14 anggota dari BBP Sungai Merah dengan menggunakan sebuah FRT, EMRS dan sebuah pacuan empat roda (4WD) model Toyota Hilux bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 8.52.pagi.

"Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya kebakaran yang melibatkan sebuah rumah panjang struktur jenis tidak kekal yang sedang ranap dimamah api," jelas beliau.

PKO kemudiannya memulakan kerja-kerja pemadaman secara deffensive sebelah kanan rumah dan offensive dari kiri dan tengah rumah menggunakan 2 aliran 400 kaki 3 pancutan sumber air terbuka dari sungai berdekatan.

Api jelasnya dapat dikawal dalam masa 3 minit selepas pancutan pertama sebelum pusat sehenti pasca insiden dibuka di tempat kejadian. 

Maklumat awal yang diterima dari saksi kejadian berkata api dipercayai bermula dari bahagian bilik no 2 di bahagian dapur.
Mujurlah katanya kebakaran yang berlaku tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa kerana semua penghuninya berjaya keluar lari menyelamatkan diri.

Setelah api berjaya dipadam sepenuhnya dan tiada berlaku kebakaran berulang, pasukan bomba menamatkan operasi sebelum bertolak balik ke balai.

Gambar PGO Sarawak dan BBP Sibu
Next Post Previous Post