17 hari tiada air paip, penduduk bimbang ancaman buaya

LIMBANG-- Penduduk di Kampung Ulak di sini terpaksa mempertaruhkan nyawa demi mendapatkan air untuk kegunaan harian susulan krisis bekalan air paip yang berlarutan lebih setengah bulan.

Keperitan itu dikongsikan oleh Nurul Emma di Facebooknya yang mengatakan hari ini sudah 17 hari tiada air dari sistem paip di situ.

Lebih merisaukan, penduduk terpaksa menggunakan air dari sungai untuk kegunaan harian mereka sekali gus berisiko dengan ancaman serangan buaya.

"Hari ini hari ke-17 tiada air, terpaksa ambil air dari sungai sendiri menggunakan bekas dan botol terpakai.

"Lebih merisaukan kami sungai ini ada buaya kerana beberapa orang kampung pernah diserang buaya," katanya sambil mengadu sakit lutut kerana kerap ulang-alik mengangkat air dari sungai.

Jelasnya, penduduk tidak mempunyai pilihan lain selain menggunakan sumber air sungai.

"Apa pilihan kami orang kampung ada? Kalau hari-hari turun ke pekan (untuk beli air) berapa sudah kos untuk minyak," tambahnya.

Mengenai bantuan air, katanya pihaknya ada menerima dua hari lepas yang juga terhad.

"Bukannya tidak bersyukur tetapi ia tidak mencukupi untuk kegunaan seharian, lebih-lebih lagi mereka yang ramai anak," dedahnya.

Sehubungan itu, dia berharap pihak berwajib mengambil tindakan penyelesaian segara bagi menamatkan kemelut bekalan air di kawasan tersebut.
Next Post Previous Post