Jeti siap, tangganya mana?

SEBUYAU—Nelayan di Kampung Sebuyau menyuarakan kekecewaan dengan pembinaan jeti yang tidak bertangga sehingga menyukarkan mereka untuk turun ke pontoon.

Seorang penduduk, Abdul Rashid Abdul Wahab melalui hantaran di Facebook berkata, jeti tersebut merupakan projek luar bandar yang diluluskan baru-baru ini.

“Projek menjelang Januari 2024 buat jeti untuk nelayan Kampung Sebuyau. 

“Jeti ada, pontoon ada tetapi tiada tangga. Bagaimana nelayan hendak turun?, katanya dalam hantaran itu.

Selain jeti yang tidak efisyen, turut menjadi persoalan ialah kualiti kedua-dua jeti yang dibina menggunakan nat besi bukan keluli. 

“Bila ditanya dengan kontraktor, mereka memaklumkan ia mengikut perancangan asal,” katanya.



Sehubungan beliau berharap kontraktor yang diberikan projek luar bandar seumpama ini mengutamakan kualiti.

“Saya mohon kepada semua kontraktor yang melaksanakan apa-apa projek untuk rakyat Sebuyau, jangan mementingkan keuntungan semata-mata.

“Jika hendak tolong rakyat, tolonglah betul-betul jangan buat jeti alang-alang,” katanya sambil berharap pihak berwajib turun padang untuk memantau perkara ini.
Next Post Previous Post