Dua PATI diberkas, edar dadah di Pasar Lama Bintulu

BINTULU— Satu sindiket pengedaran dadah yang mensasarkan penagih di kawasan Pasar Lama Bintulu tumpas apabila polis menahan dua warga asing termasuk seorang wanita, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Supt. Nixon Joshua Ali berkata,kedua-dua suspek masing-masing berusia 30 dan 38 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah hotel bajet di Pasar Lama Bintulu.

“Semasa pemeriksaan, polis merampas dadah jenis syabu seberat 14.92 gram yang boleh digunakan untuk 25 hingga 30 penagih dadah.

“Modus operandi suspek dipercayai menjalankan aktiviti berkenaan di sekitar kawasan Pasar Lama Bintulu. 

“Ujian saringan air kencing turut mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Meth,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Nixon berkata, suspek disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dan menagih dadah.

Jika sabit kesalahan memiliki dadah di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952 boleh di penjara tidak lebih 5 tahun dan sebatan tidak kurang tiga kali.

Bagi kesalahan di bawah Sek.15(1)Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan pengawasan dua tahun.

“Kedua-dua suspek juga disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana kesalahan tiada memiliki dokumen perjalanan yang sah. 

Akta ini memperuntukkan hukuman denda tidak lebih dari RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan disebat tidak lebih dari enam kali sebatan, jika disabit kesalahan.

“Tangkapan ini merupakan salah satu usaha polis dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah, di samping mencegah aktiviti jenayah di daerah Bintulu ini,”kata Nixon.

Beliau menasihatkan orang ramai, jika mempunyai sebarang maklumat berkaitan dadah di daerah ini boleh memaklumkan kepada Bilik Gerakan PDRM, IPD Bintulu di talian 086-318304.
Next Post Previous Post