Suspek curi Honda C100B di Siburan kini diburu polis

KUCHING-- Polis kini giat memburu seorang lelaki yang merupakan suspek kes curi sebuah motosikal jenis Honda C100B di hadapan sebuah kedai di Pasar Siburan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata, suspek seorang lelaki berusia berusia 40-an, dianggarkan ketinggian 160 sentimeter.

"Pihak polis Ibu Pejabat Daerah Padawan mengesahkan telah menerima satu laporan berkenaan dengan satu kejadian curi kenderaan yang telah tular di laman sosial Facebook. 

"Laporan tersebut diterima pada 11 Disember 2023 jam 10.30 malam, mangsa merupakan seorang lelaki berumur 40 tahun memaklumkan motorsikal Honda C100B berwarna biru telah hilang di hadapan sebuah kedai, Pasar Siburan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegasnya lagi, polis kini sedang giat mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Lim berkata, polis terkesan dengan hantaran yang tular di Facebook berkaitan kecurian motosikal tersebut pada 13 Disember lalu.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar mengambil langkah pencegahan awal seperti memastikan kenderaan di pasang kunci tambahan. 

"Selain itu juga, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233.
Next Post Previous Post